suria

TPPA: Semua Negara Tunjuk Reaksi Positif, Malaysia Berusaha Tangani Isu - Mustapa

Mustapa (kanan) ketika memberikan taklimat mengenai TPPA di Menara Star di Petaling Jaya, Khamis. Turut serta ialah Wong Chun Wai (kiri). Foto SAM THAM/The Star

PETALING JAYA: Walaupun tiada tarikh akhir untuk mencapai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) namun kebanyakan negara yang terlibat dalam rundingan itu menunjukkan reaksi positif bagi memuktamadkannya dan Malaysia berusaha menangani pelbagai isu sebelum membuat keputusan mengenainya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia akan menangani sebarang isu berbangkit yang perlu diperhalusi dan dipertimbangkan demi kepentingan negara.

Malah katanya, negara-negara lain yang menyertai rundingan itu turut berusaha menyelesaikan isu masing-masing yang menjadi kebimbangan mereka.

"Terdapat perkembangan yang dapat dilihat sejak Malaysia menyertai rundingan itu lima tahun lalu. Kita percaya kita lakukan ini (tangani isu) demi kepentingan semua.

“Mengenai semua negara terlibat, tiada tarikh akhir untuk TPPA. Banyak perkara dan isu perlu dipertimbangkan tetapi kebanyakan negara yang menyertai rundingan TPPA mahu ia dimuktamadkan,” katanya pada sesi taklimat khas mengenai TPPA di Menara Star di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Menurut Mustapa, tiada keputusan dalam mesyuarat peringkat menteri TPPA yang diadakan di Hawaii pada Julai lalu bagi memuktamadkan rundingan tersebut.

Mengulas mengenai banyak isu berhubung kepentingan negara masing-masing perlu diselesaikan, Mustapa berkata, Malaysia bukan hanya negara yang menyuarakan kebimbangan terhadap TPPA bahkan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia berhadapan dengan situasi yang sama.

"Semua negara masih di peringkat rundingan dalam memastikan kepentingan negara terhadap beberapa perkara dilindungi," katanya sambil menambah bahawa agenda Bumiputera, pemerolehan kerajaan dan perusahaan milik negara misalnya perlu dilindungi dan difahami oleh negara-negara yang terlibat.

Mustapa berkata, Malaysia akan membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam TPPA pada suku ketiga tahun ini selepas semua perbincangan selesai.

TPPA merupakan satu inisiatif perjanjian perdagangan bebas membabitkan 12 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Kanada, Australia, Chile, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Mexico, New Zealand dan Peru.

Menurut Mustapa, setakat ini lebih 100 perbincangan dan rundingan telah diadakan oleh kementeriannya bagi meningkatkan tahap pemahaman mengenai kandungan TPPA.



Mustapa Mohamed, TPPA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain