suria

Kerajaan Tubuh Agensi Pengurusan Bencana Negara

Datuk Seri Shahidan Kassim
PUTRAJAYA: Kerajaan telah menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) bagi menyelaras dan mengurus bantuan bencana dalam negara dengan lebih teratur dan efektif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata APBN yang merupakan sebuah agensi baharu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan mengambil alih tugas dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam penyelarasan dan pengurusan bencana.

MKN kini akan memberi tumpuan dalam menjaga keselamatan negara, katanya.

"Arahan 20 MKN (arahan yang menggariskan mekanisme pengurusan dan bantuan sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana) tidak berubah," katanya dalam sidang media mengumumkan penubuhan APBN di sini Rabu. 

APBN akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 8 September ini untuk membuat persediaan menghadapi banjir pada musim tengkujuh, katanya.

"Dengan penubuhan APBN, kita juga akan menambah keanggotaan dan aset seperti trak 8-tan dan bot penyelamat di peringkat negeri mengikut keperluan bagi memantapkan pengurusan bencana," katanya.

Shahidan berkata Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dipindahkan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke JPM akan dibawa masuk ke dalam ABPN.

Agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia, dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan terus terlibat dalam rangkaian APBN itu, katanya.

Shahidan berkata JPAM akan menguruskan bantuan di peringkat komuniti khususnya di kampung dan rumah-rumah awam khususnya di negeri-negeri yang mudah menghadapi bencana alam yang besar seperti Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Aset di bawah MKN akan diuruskan JPAM manakala pembelian aset-aset baharu akan dilakukan mengikut keperluan di Dewan Undangan Negeri," katanya.

Selain itu, Shahidan berkata APBN juga akan menggunakan aset udara seperti helikopter dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
APBN, Datuk Seri Shahidan Kassim, MKN

Artikel Lain