suria

Wakil Rakyat PAS Sertai Parti Baharu Harus Lepas Jawatan - Dewan Ulama PAS

JOHOR BARU: Wakil rakyat PAS yang menyertai parti baharu seharusnya melepaskan jawatan, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau berkata tanpa sokongan daripada parti PAS, tidak mungkin calon boleh menang dengan sendirinya.

"Yang meluluskan seseorang calon itu bertanding bukan sahaja daripada Majlis Syura Ulama, tetapi juga ahli jawatankuasa PAS pusat dan negeri. Tanpa sokongan mereka ini, tak mungkin jadi calon dan seterusnya menang pilihan raya," katanya kepada pemberita di pejabat PAS Johor, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya ada desakan supaya wakil rakyat PAS yang menyertai parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) perlu meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Dr Mahfodz, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata mereka yang menang bertanding perlu akur bahawa segala persiapan sebelum pilihan raya dari segi kewangan dan tenaga kerja adalah daripada usaha parti itu.

Ketika ditanya sama ada empat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Johor yang telah menyatakan pendirian untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (HB) telah meletak jawatan, beliau berkata buat masa ini, hanya seorang sahaja yang  meletak jawatan iaitu ADUN Parit Yaani AminolHuda Hassan.

"Setakat ini, Adun Sg Abong Dr Sheikh Ibrahim Salleh, Adun Puteri Wangsa Abdullah Hussin dan Adun Maharani Dr Mohammad Taslim masih lagi istiqamah untuk masih bersama kita (PAS)," katanya.

Dr Mahfodz bagaimanapun tidak risau mengenai peletakan jawatan beramai-ramai anggota PAS negeri malah melihatnya sebagai langkah untuk memperkukuhkan parti.

Semalam, sebanyak 25 anggota PAS termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Mohd Faizul Mohd Salleh dan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Norhayati Bachok meletak jawatan.

Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu pada Isnin lepas mengumumkan Amanah digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.-- Bernama



PAS, Mahfodz Mohamed, Dewan Ulama

Artikel Berikut

Artikel Lain