suria

Penipuan Tangga Teratas Jenayah Siber - CyberSecurity

Aaron Ikram Mokhtar

KUALA LUMPUR: Penipuan merupakan kes jenayah siber paling banyak dilaporkan di negara ini sejak lima tahun lepas, kata CyberSecurity.

Ini berdasarkan laporan yang diterima Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCert), kata eksekutif kanan Jabatan Outreach dan Komunikasi Korporat CyberSecurity Aaron Ikram Mokhtar.

Beliau berkata satu kaji selidik baru-baru ini mendapati rakyat Malaysia menghabiskan masa purata 20 jam seminggu secara dalam talian dan menurut beliau, lebih banyak masa digunakan seseorang secara dalam talian, maka lebih tinggilah risiko yang dihadapinya untuk menjadi mangsa jenayah siber.

"Malah, jika seseorang itu hanya menghabiskan masa sejam seminggu melalui Internet, peluangnya untuk menjadi mangsa jenayah siber ialah kira-kira 64 peratus," katanya ketika berucap dalam sesi 'Safecities and CyberSecurity' pada Pameran dan Persidangan Kebakaran dan Keselamatan Antarabangsa (IFSEC) Asia Tenggara 2015 di sini, Rabu.

Beliau berkata, oleh itu persoalannya bukan "adakah seseorang itu akan menjadi mangsa jenayah siber, tetapi bilakah seseorang itu akan menjadi mangsa jenayah siber".

"Untuk mengelak daripada menjadi mangsa, anda perlu meningkatkan tahap kesedaran tentang keselamatan...seperti tidak sekali-kali memandang remeh keperluan mengemaskinikan antivirus komputer anda," kata Aaron Ikram.

Menurut beliau, CyberSecurity telah memperkenalkan program bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dan mendidik pengguna Internet tentang cara melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Jenis jenayah siber lain yang dilaporkan termasuk gangguan siber, penafian perkhidmatan, pencerobohan dan jenayah berkaitan kandungan.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain