suria

Isu Pemimpin PAS Letak Jawatan Tidak Serius - Nasrudin

SHAH ALAM: Peletakan jawatan ahli jawatankuasa (AJK) PAS peringkat kawasan bukan perkara serius bahkan mereka boleh diganti dengan kepimpinan baharu, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Bagaimanapun katanya, PAS tidak akan memandang remeh isu sedemikian dan tetap akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani sebarang permasalahan dalaman berkaitan parti itu.

Menurut Nasrudin, dakwaan pihak tertentu yang mengatakan ada cawangan PAS di beberapa kawasan terbubar akibat peletakan jawatan itu adalah tidak benar kerana hanya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang berhak berbuat sedemikian.

"Pada pendapat saya, pemimpin datang dan pergi...walaupun mereka (AJK kawasan) meletak jawatan, masih ramai lagi individu lain bersedia untuk berkhidmat.

"Malah, selepas pemilihan Muktamar PAS pada Jun lepas, kita sudah luluskan 8,000 lebih permohonan anggota baharu," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata sehingga kini, walaupun terdapat AJK di beberapa kawasan khususnya di Selangor telah meletak jawatan, namun organisasi PAS tidak terjejas dan masih kukuh sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam.

Semalam, 18 AJK PAS kawasan Shah Alam meletak jawatan dan didakwa akan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Mereka termasuk Yang Dipertuanya, Azli Yusof, Timbalan Yang Dipertua Zulkifli Mohd Nani, Naib Yang Dipertua Mohamad Jamil Abd Rahim dan Ketua Pemuda Helmi Radzuan.

Rabu lepas, Anggota Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud meletak jawatan sebagai Naib Yang Dipertua PAS kawasan itu berkuat kuasa serta-merta disertai 183 pemegang jawatan dari pelbagai peringkat termasuk Yang Dipertua kawasan itu Jaafar Samsudin dan sembilan ketua cawangan dalam PAS kawasan berkenaan.

Gerakan Harapan Baru, GHB, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain