suria

Hubungan Kerajaan Kedah-Persekutuan Baik - MB

ALOR SETAR: Hubungan antara kerajaan Kedah dan kerajaan Persekutuan pada masa ini tidak berhadapan dengan sebarang masalah dan berada dalam keadaan baik, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata dakwaan pihak tertentu menyatakan hubungan kerajaan Kedah dan Persekutuan tidak berapa baik serta renggang adalah tidak benar.

"Saya ingin melaporkan, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sememangnya baik dan tidak menghadapi sebarang masalah," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah pada perasmian persidangan DUN, dua hari lepas.

Mukhriz berkata selagi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bersikap profesional, hubungan kedua-dua pihak tidak akan menghadapi masalah.

Berucap pada perasmian persidangan DUN dua hari lepas, Tunku Sallehuddin yang juga Tunku Temenggong, meminta hubungan antara kerajaan Kedah dan kerajaan Persekutuan sentiasa dijaga dan dipelihara.

Baginda bertitah hubungan baik itu perlu kerana kerajaan negeri amat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi.Kerajaan negeri menurut Mukhriz, sentiasa membangkitkan kepada kerajaan Persekutuan tentang projek-projek rakyat seperti pembukaan taman-taman industri yang dapat menyediakan pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Kedah.

Beliau berkata Kedah telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan tentang projek-projek pembangunan menerusi lisan, surat serta sesi-sesi taklimat.

Antaranya, kata Menteri Besar sesi taklimat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau melawat Kedah tahun lepas.

Selain itu, katanya Najib turut diberikan taklimat tentang cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ketika mesyuarat majlis ekonomi di ibu negara.

Mengenai kedudukan beberapa projek ikonik Kedah yang tidak dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), beliau berkata ia tidak bermakna projek itu tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau memberi contoh projek minyak dan gas Pengerang yang tidak pernah disebut dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10, tetapi sehingga kini sebanyak RM10 bilion telah dibelanjakan untuk projek terbabit.

Mukhriz juga berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan untuk membiayai pembinaan KXP termasuk menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), sekiranya kerajaan Persekutuan menghadapi masalah untuk membiayainya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan tidak menolak cadangan pembinaan KXP itu.

DUN Kedah meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Mukhriz Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Lain