suria

Anak Panda Boleh Dikunjungi Selepas 2 Bulan

Anak panda kelahiran Liang Liang dipegang dengan berhati-hati oleh pegawai vetrinar dan ditempatkan dalam kuarantin selama dua bulan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Ulu Kelang.

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh melihat anak panda gergasi betina yang dilahirkan semalam di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) di Zoo Negara selepas tempoh dua bulan.

Namun begitu Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli berkata, ia bergantung kepada keadaan ibu anak panda itu, Liang Liang sama ada akan melepaskan anaknya seketika untuk dibawa ke bilik pameran.

"Yang pasti selepas dua bulan, orang ramai boleh melihat anak panda ini tetapi ia bergantung bagaimana keadaan Liang Liang, kemungkinan ia akan melepaskan anaknya seketika untuk dikeluarkan ke bahagian pameran," katanya pada sidang media pengumuman rasmi kelahiran anak panda gergasi itu di Zoo Negara di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Zoo Negara Datuk Zaharin Md Afif dan Timbalan Presiden Rosly@Rahmat Ahmat Lana.

Menurut Dr Mat Naim, buat masa ini anak panda yang belum diberi nama itu dan disahkan betina adalah sihat dan sentiasa berada dalam pelukan ibunya.

Dalam pada itu pihak zoo sempat mengasingkan anak panda itu selama empat minit pada 6.45 petang semalam.

Pemisahan sementara itu bagi mengambil berat, mengukur panjang dan menentukan jantina serta memastikan anak panda itu berada dalam keadaan normal.

"Anak panda gergasi itu berada dalam keadaan sihat dengan panjang dari ekor ke kepala adalah 20cm, berat 175 gram dan setakat ini kami mengesahkan panda itu betina," katanya.

Dr Mat Naim berkata, selepas pemeriksaan dijalankan ke atas anak panda itu, pihaknya mengembalikan semula anak panda tersebut kepada ibunya.

"Selepas kita memasukkan semula anak itu kepada ibunya, Liang Liang menerima anaknya dengan begitu baik sekali ... ia sentiasa berada dalam dakapan dia (ibunya).

"Sedikit pergerakan anak dia akan berbunyi, sebab itu kita tak mahu sangat ganggu dia..., katanya.

Menurut Dr Mat Naim, anak panda itu akan dihantar kembali ke negara asalnya selepas dua tahun manakala ibunya akan terus menetap di sini selama 10 tahun mengikut perjanjian antara kerajaan Malaysia dan China.

Pasangan panda gergasi itu, yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Kedua-duanya akan berada di negara ini selama 10 tahun.

Pada 25 Jun tahun lepas, Najib mengumumkan nama baharu pasangan panda berkenaan iaitu Xing Xing (kemakmuran) bagi panda gergasi jantan dan Liang Liang (cantik) bagi panda gergasi betina semasa ia berada di negara ini.

Panda, Liang Liang

Artikel Lain