suria

Pua Fail Semakan Kehakiman Cabar Perintah Larangan Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee pada Rabu menfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar perintah Ketua Pengarah (KP) Imigresen yang melarangnya ke luar negara.

Pua, yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menfailkan permohonan itu melalui Tetuan Gobind Singh Deo  and  Co di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini, serta menamakan KP Imigresen dan kerajaan Malaysia sebagai repsonden.

Dalam permohonan itu, Pua selaku pemohon, menuntut deklarasi bahawa perintah KP Imigresen yang menghalangnya ke luar negara pada 22 Julai 2015, adalah bertentangan dengan undang-undang, oleh itu ia tidak sah dan batal.

Ketika itu, beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk ke Yogyakarta, Indonesia dan pasportnya akan tamat tempoh pada 23 April 2020.

Beliau juga memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan perintah itu, ganti rugi khas, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pua mendakwa perintah dan keputusan itu adalah ultra vires kuasa responden-responden dan arbitrari kerana beliau tidak diberikan notis atau diberikan peluang berhubung perintah larangan itu.

Beliau juga mendakwa keputusan itu adalah tidak munasabah, tidak adil dan mala fide kepadanya.

Peguamnya Gobind Singh Deo memberitahu media bahawa Pua telah menghantar surat pada 24 Julai memohon penjelasan berhubung perintah itu kepada KP Imigresen tetapi tiada jawapan diberikan.

Artikel Lain