suria

Selangor Akui Kempen Kesedaran Penjimatan Air Gagal Capai Objektif

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mengakui kempen-kempen kesedaran berhubung langkah penjimatan air yang dilancarkan sejak tahun lepas gagal mencapai objektif.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Zaidy Abdul Talib berkata statistik kerajaan negeri menunjukkan seorang rakyat Selangor menggunakan 235 hingga 250 liter air sehari.

Beliau berkata jika purata penggunaan air bersih sehingga 250 liter seorang sehari itu berlarutan, ia akan menyebabkan 880 juta liter air dibazirkan sehingga tahun 2020.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi kerajaan untuk mengenal pasti kempen yang sesuai dan merangka perancangan komprehensif bagi mengatasi permasalahan tersebut.

"Kita bersedia mengadakan kempen-kempen baharu yang komprehensif dan dijangka dilancarkan pada November ini namun bergantung kepada keadaan semasa kerana ketika itu musim tengkujuh, maka kita akan berbincang kesesuaian pelancarannya," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Rabu.

Zaidy menjawab soalan tambahan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) yang ingin mengetahui perkembangan kempen penjimatan air yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, menjawab soalan lisan Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) mengenai jaminan kerajaan negeri supaya bekalan air tidak terputus atau dicatu, Zaidy berkata syarikat perunding telah dilantik bagi mengenal pasti sumber-sumber air baharu.

"Perunding itu akan mengkaji sumber air, permintaan dan penawaran untuk dijadikan rangka tindakan bekalan air bagi mengenal pasti sumber air baharu pada masa hadapan," katanya.

Beliau juga berkata sambungan antara loji rawatan air di seluruh negeri itu juga diwujudkan sebagai bantuan untuk menyalurkan bekalan kepada kawasan tertentu yang mengalami gangguan bekalan air.

Air Selangor, PKR

Artikel Lain