suria

PAS Sokong Undi Tidak Percaya Terhadap Najib

PETALING JAYA: PAS akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya usul berkenaan dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu berpendirian sedemikian berikutan kegagalan Najib menjelaskan pelbagai tuduhan terhadapnya.

"Sebagaimana yang dikatakan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, jika ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, PAS akan turut sama kerana tindakan terhadap 1MDB dan jawapan berhubung derma RM2.6 bilion jelas tidak dapat diterima rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Selain itu, menerusi kenyataan media yang sama Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengapa pihak polis tidak bertindak menyiasat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan 'orang tua misteri' yang didakwa terlibat dengan komplot menggulingkan kerajaan.

Tegas Tuan Ibrahim, pihak polis seharusnya menyiasat mereka yang terlibat di bawah Seksyen 124B kerana 'memudaratkan demokrasi berparlimen'.

"Mengapa masih tiada tindakan membeku Ahli Parlimen BN dan 'orang tua misteri' yang dituduh itu keluar negara seperti yang terkena pada beberapa ahli pembangkang dan pemimpin NGO sebelum ini?

"Mengapa tiada tangkapan, serbuan ke rumah dan sebagainya sebagaimana yang dialami pegawai SPRM dan Bank Negara? Mengapa polis tiba-tiba menjadi lambat bertindak?," katanya.

Seksyen 124B menyatakan, sesiapa yang menjalankan, dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, sebarang 'aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen' boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain