suria

DUN Selangor: Exco 'Diserang' Gagal Tangani Penularan Denggi

SHAH ALAM: Peningkatan kes demam denggi di Selangor mendorong beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) "menyerang" Exco kerajaan negeri bertanggungjawab yang dianggap gagal mencari kaedah pencegahan terbaik untuk mengatasi penularan wabak itu.

Jawapan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Dr Daroyah Alwi ketika menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) mengenai wabak denggi di Selangor ternyata tidak memuaskan hati Rosni dan beberapa ADUN lain yang menyebabkan soal-jawab berhubung isu itu berlanjutan hampir setengah jam.

Terdahulu, Daroyah (PKR-Sementa) berkata sehingga 8 Ogos lepas, sebanyak 1,336 kes denggi dicatatkan di Selangor menjadikan keseluruhan kes di negeri itu berjumlah 41,223 kes dengan 92 kematian.

Beliau berkata daripada jumlah itu, daerah Petaling merekodkan bilangan kes denggi paling tinggi iaitu sebanyak 17,913 kes.

"Kita telah adakan pelbagai usaha untuk tangani denggi seperti tubuh jawatankuasa tindakan kawal denggi, mesyuarat, operasi tapak pembinaan, terjah dan musnah denggi, task force, kempen, pendidikan kesihatan serta penguatkuasaan dan perundangan bagi beri kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Rosni segera bangkit dan meminta Daroyah menjelaskan tindakan segera yang diambil kerajaan negeri memandangkan ia melibatkan nyawa rakyat Selangor, dan disokong beberapa ADUN lain seperti Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) dan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga).

Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok) pula bertanya jika kerajaan negeri ada mencari kaedah baharu untuk mencegah wabak itu dan Daroyah menjelaskan bahawa kaedah kawalan biologi turut digunakan untuk mengawal pembiakan nyamuk Aedes yang menyebabkan denggi.

Dalam pada itu, Dr Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuh melibatkan semua Exco kerajaan negeri bagi membincangkan kaedah terbaik menangani isu berkenaan. 

Denggi, DUN Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain