suria

Orang Ramai Diminta Lapor Individu Mencurigakan Di Sempadan Negara

Zulkifeli Mohd Zin

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meminta orang ramai melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada gerak-geri individu yang mencurigakan di sempadan negara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini di negara ini.

"ATM sentiasa bekerjasama dengan agensi lain khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku di negara ini.

"Walaupun begitu (kerjasama) masyarakat diperlukan untuk membendung sesuatu perkara daripada berlaku. Laporkan gerak-geri individu tidak dikenali dan yang disyaki kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas majlis Tilawah al-Quran peringkat ATM ke-66 Tahun 2015 di Wisma Kementerian Pertahanan di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas kejadian letupan bom di Bangkok pada Isnin lepas serta kawalan di sempadan negara ketika ini.

Zulkifeli berkata masyarakat di negara ini perlu mengambil iktibar daripada insiden letupan bom di negara jiran, Thailand.

"Rakyat perlu ambil iktibar kejadian ini (insiden bom) dan kes ini akan menyebabkan pelancong takut untuk datang ke negara seterusnya menjejaskan ekonomi.

"Kita juga sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keadaan sempadan negara seperti di Thailand, Filipina serta Sabah dan Sarawak terkawal daripada kejadian tidak diingini," katanya.

Semalam, Kementerian Luar mengesahkan dua lagi rakyat Malaysia terkorban dalam kejadian letupan bom di Bangkok Isnin malam, menjadikan jumlah yang terbunuh empat orang setakat ini.

Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan 123 cedera akibat letupan bom di persimpangan Ratchaprasong, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Tentera Darat mempertahankan kejuaraan buat dua tahun berturut-turut apabila muncul juara keseluruhan Tilawah al-Quran ATM.

Pertandingan anjuran Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) itu diadakan untuk memartabatkan ketinggian ilmu dan kemuliaan al-Quran dalam melahirkan anggota tentera yang berakhlak mulia dan mampu menghadapi cabaran era globalisasi.

Sembilan peserta masing-masing tiga dari Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai tilawah itu.-- Bernama



ATM, sempadan, Zulkifeli Mohd Zin

Artikel Sebelum

Artikel Lain