suria

Gara-Gara Berebut Anak, Wanita Parah Ditetak Bekas Suami

MELAKA: Seorang wanita cedera parah selepas dipercayai ditetak bekas suaminya berpunca daripada perebutan tiga anak mereka di sebuah ladang kelapa sawit di Merlimau pada Sabtu.

Bekas suami wanita itu datang ke rumah mereka di Merlimau untuk mengambil tiga anak lelakinya masing-masing berusia 13, tujuh dan empat tahun.

Pasangan tersebut dikatakan bercerai sejak lima tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata bekas suami wanita tersebut tiba-tiba marah dan mengambil sebilah parang sebelum mengarahkan wanita tersebut dan tiga anaknya untuk menaiki motosikal secara berlima.

Mereka berlima menaiki motosikal tersebut menuju ke sebuah ladang kelapa sawit kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

"Lelaki tersebut mengarahkan bekas isterinya untuk mengikutnya ke belakang sebuah pokok, tempat di mana dia ditetak beberapa kali sementara anak lelaki mereka menyaksikan insiden tersebut.

"Suspek menjerit meminta anaknya melarikan diri ke rumah mereka. Ketiga-tiga anak mangsa memaklumkan perkara itu kepada bapa tiri mereka," kata Muhd Nur Hishamuddin pada Isnin.

Bapa tiri mereka kemudiannya memaklumkan kepada polis yang berkejar ke tempat kejadian.

Polis menemui wanita tersebut dalam keadaan berlumuran darah manakala suspek dipercayai melarikan diri.

Wanita tersebut dikejarkan ke poliklinik Merlimau sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Muhd Nur Hishamuddin berkata polis berjaya mengesan suspek di Felda Bukit Puchong, Bera, Pahang kira-kira pukul 4 pagi Isnin.

Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.

tetak

Artikel Lain