suria

PM Bersyukur Ahli Parti Dan Rakyat Terima Baik Rombakan Kabinet

Datuk Seri Najib Tun Razak
PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad melahirkan rasa syukur kerana anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) serta rakyat menerima baik rombakan kabinet yang dilakukannya pada 28 Julai lalu.

Beliau berkata dengan rombakan itu, parti dan kerajaan kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat untuk membangunkan dan memacu Malaysia ke arah negara maju dalam tempoh lima tahun.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal), (Datuk Seri) Hassan (Malek) dan semua yang tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.

"Tetapi masing-masing melahirkan komitmen dan luahkan pendirian bahawa mereka tetap setia kepada Umno. Dengan selesainya proses itu (rombakan), maka kita boleh bergerak ke hadapan.

"Saya tidak mahu kita hilang arah dan fokus. Kita mesti kembali kepada mengapa, kenapa dan apa dia objektif serta matlamat yang hendak diperjuangkan sebagai anggota parti dan kerajaan," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini.

Turut berangkat mencemar duli ke majlis rumah terbuka perdana menteri ialah ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam ucapannya, Najib juga berharap semua barisan kepimpinan negara dan parti supaya sentiasa prihatin dan memikirkan kehendak dan apa yang diingini rakyat untuk menjadikan negara lebih makmur dan membangun.

"Jika rakyat mengimpikan rumah kediaman yang mampu dimiliki dan didiami, maka berjuanglah untuk sediakan rumah tersebut. Jika rakyat mahukan peluang pekerjaan untuk anak-anak mereka, maka berjuanglah untuk beri peluang pekerjaan kepada anak-anak kita.

"Jika rakyat mengambil berat tentang kos sara hidup yang dialami mereka, maka buatlah apa yang termampu untuk mengurangkan kos hidup rakyat.

"Jika mereka mahu kadar jenayah yang kurang dan keadaan lebih selamat, maka lakukan tindakan ke arah menjamin kehidupan yang lebih baik dan menjamin keselamatan serta keamanan," katanya.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata tindakan sama juga perlu dilakukan jika rakyat Malaysia, khususnya umat Islam mahukan supaya martabat agama Islam terus dipertingkatkan dan dipelihara.

Katanya, perpaduan dan kesatuan antara rakyat juga perlu sentiasa dipelihara dan meminta supaya semua rakyat Malaysia untuk bertenang dan berfikir jauh demi masa depan anak-anak dan cucu mereka.

Sambutan rumah terbuka itu yang merupakan acara tahunan dihadiri lebih 60,000 tetamu dan mereka dihidangkan dengan lebih 3,500 lemang dan 6,000 ketupat yang disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk setempat.

Artikel Berikut

Artikel Lain