suria

60,000 Hadiri Rumah Terbuka PM Di Pekan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2015 Parlimen Pekan, Ahad. Kira-kira 60,000 tetamu menghadiri majlis yang menyediakan pelbagai juadah tradisional dan moden itu. -fotoBERNAMA
PEKAN: Kira-kira 60,000 rakyat daripada pelbagai lapisan menghadiri majlis rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diadakan Dataran Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini Ahad.

Mereka yang membanjiri majlis itu bukan sahaja datang dari daerah Pekan, tetapi juga luar daerah yang datang seawal 8 pagi bagi menunjukkan sokongan padu di atas kepimpinan Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan.

Turut berangkat mencemar duli ke majlis rumah terbuka berkenaan ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada majlis itu, baginda turut diraikan dan berkenan memotong kek sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-56 pada 30 Julai lepas.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Lebih 100 gerai makanan dan minuman disediakan kepada tetamu yang hadir termasuk pelbagai hidangan tradisional Pekan seperti laksa Pekan, opor daging, lemang, ketupat, rendang, puding raja dan kuih suji.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis-artis terkenal tanah air seperti Ayai Ilusi, Datuk Mohd Syed Sobri, Jay Jay dan Nash.

Sementara itu, Shamsiah Noor Abd Malik, 53, dari Taman Tas, Kuantan berkata kehadiran beliau di majlis berkenaan adalah bagi menyatakan sokongan kepada perdana menteri selain turut sama dengan yang lain memeriahkan rumah terbuka berkenaan.

"Saya nak jumpa dengan perdana menteri dan bersalam dengannya untuk menunjukkan rakyat sentiasa menyokong kepimpinan beliau walau apapun tohmahan dilemparkan kepadanya.


"Bukan sebab beliau orang Pahang saya berkata demikian, tetapi sebab perdana menteri memang selama ini cukup berwibawa dan mendepani isu-isu negara dengan berani dan dengan cara tersendiri," katanya.

Beliau yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) sejak 15 tahun yang lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, turut menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang prihatin dengan nasib rakyat.

Sementara itu, pasangan suami isteri Robert Agustine, 54, dan Louis Mary, 53, berkata mereka bergegas ke majlis terbuka itu sebaik sahaja tamat upacara sembahyang di gereja di Kuantan pagi tadi.


Agustine yang merupakan tukang paip berkata beliau mahu menghadiri majlis itu bagi menunjukkan sokongan kepada Najib, yang disifatkan beliau sedang 'melalui cabaran politik'.

"Ini merupakan rumah terbuka pertama yang saya hadiri untuk tahun ini. Saya harap boleh menemui perdana menteri dan nyatakan sokongan kepada beliau," katanya.

Anak jati Pekan Shamsul Nizam Sharudin, 44, juga berkata kedatangan beliau bersama isteri dan empat orang anak adalah lebih sebagai tanda sokongan daripada 'beraya'.

"Rumah terbuka ini memang diadakan setiap tahun, tapi tahun ini lebih dekat dengan hati kami penduduk Pekan. Sebab ini adalah masa untuk kami menunjukkan solidariti kepada beliau, selepas rombakan Kabinet baru-baru ini," katanya.

Artikel Lain