suria

Pertemuan PM-Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Petang Ini

Lokasi yang bakal menjadi tumpuan pemimpin Umno seluruh negara petang Jumaat.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil semua pengerusi perhubungan Umno negeri ke kediaman rasminya untuk sesi taklimat berhubung perkembangan politik semasa negara, petang Jumaat.

Mereka yang dijangka hadir pada perjumpaan pada pukul 5.30 petang di Seri Perdana, Putrajaya itu termasuk tujuh Menteri Besar dan dua Ketua Menteri.

Difahamkan Najib mahu memaklumkan beberapa isu semasa susulan rombakan Kabinet dan pelantikan Peguam Negara yang baharu.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Mohamed Hasan berkata, perjumpaan itu sememangnya kena pada masanya.

Menerusi sesi itu, pemimpin Umno di peringkat negeri akan memperoleh maklumat tepat berhubung isu yang berbangkit kebelakangan ini.

Seorang lagi pengerusi perhubungan Umno negeri berkata, beliau sememangnya mahu menghadiri perjumpaan itu.

"Apa yang saya tahu mengenai rombakan Kabinet, ia hanya daripada media.

"Kami mahu mendengar daripada mulut Perdana Menteri sendiri. Kami juga ada soalan kepada PM," katanya.

Beliau menambah, perjumpaan seumpama itu memang perlu apabila sesuatu yang 'besar' berlaku, terutama apabila rombakan ini membabitkan dua pemimpin utama Umno.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal kini tidak lagi menganggotai Kabinet.

Rombakan itu melibatkan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Ia rombakan secara besar-besaran  yang memberi kesan kepada akar umbi.

"Saya percaya PM akan menyuarakan pandangannya untuk disampaikan kepada ahli," katanya.

Bagaimanapun, mesyuarat itu juga menimbulkan spekulasi di kalangan pemimpin Umno bahawa presiden parti mungkin akan menggantikan beberapa pengerusi badan perhubungan Umno negeri walaupun beliau tiada alasan untuk berbuat demikian.

Alasannya adalah Najib mahukan pemimpin yang boleh dipercayai  untuk mengendalikan jentera parti peringkat negeri.

Perjumpaan itu diatur selepas pembatalan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk meredakan situasi selepas rombakan Kabinet pada Selasa.





Artikel Lain