suria

"Saya Masih Orang Yang Sama" - Nur Jazlan

Datuk Nur Jazlan Mohamed

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berdepan kritikan kerana menerima jawatan timbalan menteri menyangkal dakwaan bahawa beliau telah menggadai prinsipnya.


"Tidak adil menuduh saya perkara-perkara seperti itu.

"Bagi saya, saya telah beralih dari badan perundangan ke eksekutif dan kerja di kementerian adalah lebih mencabar berbanding PAC," kata Ahli Parlimen Pulai dan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baharu dilantik ini.

"Saya terus bergerak ke hadapan, jadi apa masalahnya?" katanya.

Beliau menegaskan bahawa beliau 'masih orang yang sama' dan berharap dapat menjalankan tugas-tugasnya di kementerian sama seperti yang telah dilakukannya ketika bersama PAC.

Beliau berkata PAC telah berfungsi selama beberapa dekad sebelum beliau memegang jawatan itu.

"Saya hanya melakukan tugas saya dengan sokongan ahli-ahli jawatankuasa, yang dianggap baik. PAC akan meneruskan tugas-tugasnya di bawah seorang pengerusi baharu," katanya.

Ketika ditanya sama ada PAC boleh diteruskan tanpa seorang pengerusi, Nur Jazlan berkata jawatankuasa itu boleh diteruskan apabila pengganti untuk jawatan pengerusi dan yang kosong telah dikenal pasti.

"Pemilihan akan dilakukan apabila Parlimen bersidang pada bulan Oktober. Bersabar."

Selain Nur Jazlan, tiga anggota lain yang dilantik berikutan rombakan Kabinet adalah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau.

PAC, bersama-sama dengan Ketua Audit Negara dan peringkat tinggi pasukan petugas khas telah memainkan peranan penting dalam siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Presiden 1MDB dan pengarah eksekutif kumpulan Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua pegawai eksekutif Datuk Shahrol Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman telah dijadualkan untuk hadir di hadapan PAC bulan depan.

Jawatankuasa itu juga mahu ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, tampil pada bulan September.
1MDB, PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed

Artikel Lain