suria

Kerajaan Negeri Jalankan Operasi Pemutihan Di Cameron Highlands

KUANTAN: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang sedang mempertimbangkan 550 permohonan bagi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk aktiviti penanaman sayur kecil-kecilan di Cameron Highlands sebagai langkah pemutihan kawasan itu daripada pertanian berskala besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri hanya akan mempertimbangkan permohonan melakukan pertanian bagi sara hidup kerana prihatin dengan nasib penduduk yang telah berpuluh tahun menjalankan kegiatan tersebut sebagai punca rezeki mereka.

"Kita tidak lagi boleh membiarkan sindiket besar melakukan penerokaan tanah pertanian secara haram kerana itu kita jalankan pemutihan ini.

"Sampai masa nanti, kita akan umumkan (mereka yang mendapat TOL), yang penting penduduk Cameron Highlands yang selama ini bergantung hidup dengan bercucuk tanam boleh teruskan kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco dan sesi taklimat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu di Yayasan Pahang di sini, Rabu.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri akan bekerjasama dengan SPRM untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memantau projek pembangunan di Cameron Highlands.

Jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan dalam jangka masa terdekat itu akan bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan negeri berhubung segala aspek penambahbaikan di kawasan tanah tinggi itu.

"Selain itu, kita juga bersetuju supaya kerajaan negeri dan SPRM mengeluarkan kenyataan media dari semasa ke semasa untuk menunjukkan komitmen bersama memerangi pelbagai isu termasuk rasuah dan isu berbangkit lain," katanya.

Adnan berkata, dalam pertemuan itu juga, kerajaan negeri menolak cadangan SPRM agar kuasa berkenaan tanah diturunkan kepada peringkat daerah berbanding peringkat negeri pada masa ini kerana ia akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.--Bernama

Adnan Yaakob, Cameron Highlands, TOL

Artikel Lain