suria

Najib Gesa Mitsui Outlet Park Tawar Harga Paling Rendah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat beberapa outlet selepas melancarkan Mitsui Outlet Park di KLIA, Sepang, Rabu. -foto MOHD SAHAR MISNI/The Star
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa syarikat yang beroperasi di Mitsui Outlet Park (MOP) KLIA di sini,  yang juga antara Projek Permulaan (EPP), menawarkan harga paling rendah bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Menurutnya, MOP juga berpotensi menjadi pusat berkonsepkan 'factory outlet' terbesar di Asia Tenggara selepas pelan pengembangannya dicapai pada 2021.

Bercakap merasmikan MOP di sini, Rabu, Najib yang juga Menteri Kewangan, turut menyifatkan MOP mewakili semangat Malaysia berpaksikan kepentingan pertumbuhan serta inovasi.

"Pembangunan penting seperti ini yang akan menyumbang kepada daya saing Malaysia di peringkat global selain mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai antara destinasi beli-belah terbaik di rantau ini," katanya.

MOP yang mula beroperasi sejak 30 Mei lepas, menawarkan diskaun antara 30 peratus dan 70 peratus sepanjang tahun bagi produk luar musim berjenama tempatan serta antarabangsa.

Ia yang diuruskan MFMA Development Sdn Bhd, adalah usaha sama antara firma Jepun Mitsui Fudosan Co. Ltd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selain menjadi gedung beli-belah pertama Malaysia berskala besar sepenuhnya di Lembah Klang.

Keluasan kawasan beli-belah MOP adalah kira-kira 24,000 meter persegi dengan sejumlah 127 premis.

Gedung beli-belah itu turut dilengkapi Pusat Daftar Masuk Penerbangan bagi  kemudahan pengembara.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, MOP adalah salah satu projek utama MAHB bagi pelan induk Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelas Najib, pelan induk berkenaan tidak hanya bertujuan merevolusikan aspek penerbangan menerusi pembangunan dan perancangan strategik bandar lapangan terbang, tetapi turut memacu lebih banyak pelaburan perniagaan serta kemasukan pelancong ke Malaysia.

"Sebagai pusat pembangunan dan pertumbuhan bandar, ia akan melonjakkan peluang pekerjaan sekaligus merangsang ekonomi tempatan.

"Ini sudah pasti dapat meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hab perniagaan global di Asia Tenggara," katanya.

Menurut Perdana Menteri, kewujudan tarikan itu adalah antara EPP yang disenaraikan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan memacu Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi serta merangsang daya saingnya di peringkat global.

"EPP di bawah NKEA Pelancongan, bermula pada 2011 dan menyasarkan kewujudan tiga Outlet Premium di Iskandar, Sepang dan Pulau Pinang yang diunjur menyumbang  sehingga RM900 juta kepada Pendapatan Negara Kasar serta mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

"Berikutan sebahagian besar ETP dijana sektor swasta, Malaysia Airports turut dikenal pasti sebagai salah satu penggerak utama EPP ini," katanya.

Artikel Lain