suria

PKR Sedia Terima Parti Politik Baharu Termasuk GHB - Azmin

Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan kesediaannya untuk menerima usaha mana-mana kumpulan termasuk Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ingin bergerak sebagai sebuah parti politik.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata pendirian tersebut jelas menunjukkan sikap keterbukaan parti itu selagi kumpulan terbabit boleh mendukung agenda reformasi yang menjadi teras penubuhan PKR.

"Kita boleh sama-sama dalam satu muafakat. Perkara ini akan terus berkembang. Sekarang kita ada tiga anggota (dalam Pakatan Rakyat) dan mungkin bertambah menjadi lima atau enam.


"Asalkan mereka boleh komited dengan agenda reformasi," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Invest Selangor, di sini Rabu.

Invest Selangor merupakan sebuah agensi kerajaan negeri yang menyediakan maklumat dan khidmat nasihat kepada bakal pelabur di Selangor.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa GHB sedang mengenal pasti sama ada untuk bergerak melalui Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) atau Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai platform alternatif kepada PAS, Mohamed Azmin menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

Namun jelasnya, jika usaha gerakan itu wujud, polisi parti yang terlibat mestilah komited dengan prinsip yang diguna pakai Pakatan Rakyat sebagaimana yang dipersetujui oleh PKR dan DAP.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Selangor itu menafikan khabar angin yang mendakwa beliau akan melakukan rombakan barisan Exco kerajaan negeri berikutan kemelut hubungan antara PAS dan DAP.

Mohamed Azmin enggan mengulas lanjut mengenainya; sekadar menjawab ringkas, "Tiada rombakan".

Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyatakan parti itu bersedia menamatkan hubungan dengan PKR jika parti itu bersetuju menyertai DAP dan GHB untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang baharu.
GHB, PKR, Mohamed Azmin Ali

Artikel Lain