suria

Gugur Daripada Kabinet Bukan Noktah Perjuangan Untuk Rakyat, Parti - Idris Haron

Idris Haron

MELAKA: Digugurkan daripada jawatan kabinet bukanlah noktah dalam perjuangan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan parti, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, ketika digugurkan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 2009, beliau merasakan ia pengalaman yang perlu dilupakan namun selepas menenangkan diri, beliau tekad untuk meneruskan usahanya membantu rakyat dan Umno.

"Mulanya memang saya terperanjat (terima berita digugurkan) tetapi bila lalui proses tenangkan diri, akhirnya saya sedar pilihan itu datang daripada diri saya sendiri, kalau saya biarkan diri, saya tiada keazaman membantu rakyat dan parti saya akan terbiar.

"Saya berazam terus jaga kawasan saya (Anggota Parlimen Tangga Batu) dan bahagian saya (Ketua Bahagian Umno Tangga Batu), tambah pengundi, tambahkan sokongan kepada Umno dan terus bantu rakyat," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini, Rabu.

Dalam rombakan Kabinet pada Selasa, Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.

Empat menteri yang turut digugurkan ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Idris juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Muhyiddin atas segala usaha yang dilakukannya dalam memajukan negara dan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

Beliau percaya pengguguran itu tidak akan melemahkan semangat Muhyiddin untuk terus berjuang bersama Umno demi memastikan parti itu sentiasa dalam kekuatan tertinggi.

Terdahulu, ketika menggulung ucapan penangguhan dalam Persidangan DUN Melaka, Idris turut menyampaikan penghargaan kepada Muhyiddin atas khidmatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Speaker Datuk Othman Muhamad kemudian menangguhkan persidangan itu ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.-- Bernama


Artikel Lain