suria

"Tak Boleh Halang Ahli Persoal Tentang 1MDB" - Ketua Umno Cheras

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee
KUALA LUMPUR: Umno tidak boleh lagi menghalang anggotanya daripada mempersoalkan cara kerajaan mengendalikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MBD), kata pemimpin Umno Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua Umno Bahagian Cheras itu berkata, walaupun terdapat arahan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk tidak membuat sebarang komen sehingga siasatan 1MDB disiapkan, pemimpin parti masih mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan isu ini kepada rakyat.

Beliau berkata ini terbukti, apabila para perwakilan ketika mesyuarat tahunan Umno bahagian Cheras Ahad lepas mempersoalkan tentang 1MDB dalam perbahasan mereka, walaupun  Timbalan Pengerusi Tetap bahagian, Ridzuan Abdul Ghani telah memberitahu mereka untuk tidak bercakap mengenai isu itu.

Ridzuan telah menjelaskan bahawa jika beliau membenarkan perwakilan bercakap tentang 1MDB, ia akan 'memakan masa' .

"Pada mulanya, saya terkejut apabila Ridzuan mengeluarkan perintah sedemikian apabila saya memberikan lampu hijau kepada perwakilan untuk menyentuh sebarang isu.

"Tetapi apabila speaker pertama naik ke pentas, dia mengkritik Ridzuan kerana tidak membenarkannya bercakap mengenai 1MDB," katanya kepada pemberita semasa temu bual di sini, Rabu.

Syed Ali berkata arahan seperti itu daripada kerajaan memberikan tekanan kepada pemimpin bahagian seperti beliau ketika diminta akar umbi untuk meminta penjelasan.

"Apa yang kami dapat berikan adalah satu jawapan standard, iaitu tunggu siasatan selesai.

"Tetapi anda masih tidak dapat menghentikan orang ramai daripada bercakap mengenainya. Anda tidak boleh menutup menutup mulut mereka," katanya.

Tambahnya, ucapan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mesyuarat tahunan bahagian Cheras  adalah tidak dirancang.

Dua hari selepas ucapan itu dibuat, Muhyiddin telah digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digantikan oleh Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Artikel Lain