suria

Sederet Lapan Rumah Kedai Di Kampung Chuah Musnah Terbakar

Gambar Hiasan

PORT DICKSON: Sederet lapan buah rumah kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Besar Kampung Chuah, dekat sini awal pagi Ahad.

Kebakaran pada kira-kira 4.45 pagi itu memusnahkan enam buah rumah kedai dua tingkat dan dua buah kedai setingkat yang kebanyakannya didirikan daripada kayu, membabitkan kedai runcit, restoran dan pasar mini.

Pegawai operasi S. Maniam berkata bomba menerima panggilan tentang kejadian itu pukul 4.58 pagi dan segera menggegaskan tiga buah jentera bersama 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Telok Kemang dan Sepang, Selangor.

"Pihak kami berjaya mengawal api daripada merebak ke premis bersebelahan dalam masa 10 minit dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh hampir tiga jam," katanya ketika dihubungi.

Maniam, yang juga pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni premis berkenaan sempat menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.

Katanya sepasukan anggota daripada Unit Forensik jabatan itu sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain