suria

Doktor Maut Nahas Di Lebuhraya Utara-Selatan

IPOH: Seorang doktor maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh papan tanda di Kilometer 271 Lebuhraya Utara-Selatan di sini.

Mangsa yang dikenali sebagai Dr R. Karthigan, 31, dari Cameron Highlands dikatakan memandu kereta Toyota Hilux dalam perjalanan ke arah utara bersama seorang lagi doktor dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.25 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Dr Karthigan hilang kawalan sehingga mengakibatkan kemalangan dekat susur keluar Gunung Lang.

"Kenderaan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta papan tanda.

"Mangsa terperangkap dalam kenderaan. Dr Karthigan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang tidak cedera," tambahnya.

Sum berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Artikel Lain