suria

Kes Demam Denggi Meningkat Tiga Kali Ganda Di Pulau Pinang

NIBONG TEBAL: Kes demam denggi di Pulau Pinangmencatat peningkatan lebih tiga kali ganda sejak tempoh awal tahun sehingga Jumaat, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata jumlah kes yang telah dilaporkan hingga semalam telah meningkat kepada 2,990 berbanding 982 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata usaha mengatasi masalah demam denggi ini adalah tanggungjawabbersama dan semua pihak harus berkerjasama menghentikan pembiakan nyamuk Aedes ini.

"Pulau Pinang mempunyai situasi yang sama dengan Selangor di mana terdapat banyak kawasan projek pembinaan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Justeru, saya menyeru semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan untuk meningkat penguatkuasaan memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana tapak projek pembinaan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya kepada pemberita selepas memberi sumbangan kepada petugas-petugas Hospital Sungai Bakap sempena perayaan Aidilfitri pada Sabtu.

Katanya, Pulau Pinang masih kekal negeri yang keempat yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi selepas Selangor, Johor dan Perak.

Beliau berkata setakat semalam, jumlah kes demam denggi seluruh negara meningkat ke 64,473 kes berbanding 47,871 kes tahun lepas.

Sementara itu, Hilmi juga berkata kementerian Kesihatan sedang menggubalakta baharu khusus untuk perokok dan hasil produk tembakau yang turut merangkumi rokok elektronik.

Katanya, draf akta berkenaan sedang diteliti oleh kementerian sebelum dibawa ke Jabatan Peguam dan jemaah Kabinet sekiranya bersesuaian.

"Proses ini akan mengambil masa kerana melibatkan banyak pemegang kepentingan.

Antara cadangan dalam akta baharu itu termasuk kawalan lebih ketat terhadap iklan rokok termasuk (rak) rokok di belakang kaunter (kedai)," katanya.

Tambahnya, ketika ini akta sedia ada adalah Peraturan-Peraturan Kawalan  Hasil Tembakau 2004 mengikut Akta Makanan 1983.

Denggi, Aedes, Pulau Pinang

Artikel Lain