suria

Peniaga Di Plaza Low Yat Sedia Berkerjasama Dengan Pihak Berkuasa

Chong bercakap dengan salah seorang peniaga di Plaza Low Yat.
KUALA LUMPUR: Biasanya peniaga-peniaga di Plaza Low Yat akan menyaksikan peningkatan jualan beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, pergaduhan pada hujung minggu telah memberi kesan sebaliknya terhadap perniagaan mereka.

Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon memberitahu pemberita bahawa peniaga berasa bimbang ekoran serbuan polis di plaza itu pada Selasa yang mengakibatkan penahanan beberapa pekerja.

"Semalam, kira-kira setengah tenaga pekerja tidak muncul untuk bekerja kerana takut ditangkap.

"Para peniaga sukar untuk menjalankan perniagaan mereka tanpa pekerja, mereka tidak berpuas hati dengan tindakan polis," katanya ketika melawat plaza itu, pada Rabu.

Chong berkata sebahagian daripada mereka yang ditahan tidak menjual telefon bimbit.

"Mereka menjual komputer dan produk IT lain; ada yang menjual kamera," katanya.

Beliau berkata peniaga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tetapi meminta layanan yang adil diberikan.

"Mereka bukan penjenayah, mereka berada di sini untuk membantu siasatan. Bagi mereka, isu ini telah diselesaikan dan 90 peratus daripada kedai telah dibuka semula untuk perniagaan.

"Bagaimanapun, serbuan polis memberi gambaran bahawa isu ini masih berterusan dan pusat beli-belah itu adalah berbahaya.

"Selain mengalami kesan terhadap perniagaan, peniaga-peniaga masih perlu membayar bayaran sewa yang tinggi," kata Chong, menggesa pengurusan plaza untuk menyokong peniaga pada masa ini dan mempertimbangkan untuk mengurangkan atau melepaskan sewa selama sebulan.

Artikel Lain