suria

SPRM Digesa Siasat Isu Pemalsuan SAN Secara Telus

TAWAU: Siasatan terhadap isu pemalsuan Sijil Anak Negeri (SAN) perlu dilakukan secara telus dan profesional tanpa campur tangan pihak tertentu bagi memastikan hasilnya mampu memuaskan hati semua pihak, khususnya rakyat Sabah.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan dengan mengambil kira satu persatu aduan orang ramai demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Gesaan itu dilakukan Persatuan Usahawan Belia Tawau (PUBT) yang meyakini integriti SPRM dalam menangani isu terbabit sehingga ke akar umbi, kerana isu pemalsuan SAN adalah satu perlanggaran serius ke atas hak-hak orang asal di Sabah.

Setiausaha PUBT, Lagatah Toyos berkata pihaknya percaya, pembongkaran skandal terbabit yang setakat ini menyaksikan 34 individu dilaporkan ditahan SPRM, termasuk individu berstatus tinggi bukanlah untuk kepentingan sesuatu pihak ataupun individu.

"Penahanan berkenaan adalah untuk penyiasatan bagi mencari keadilan untuk semua, khususnya anak-anak tempatan Sabah yang tulen. Kes ini amat serius kerana melibatkan nasib dan masa depan generasi Bumiputera tempatan," katanya.

Pada masa sama, Lagatah juga meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menyerang atau mempolitikkan tindakan SPRM dalam proses siasatan kerana kebenaran harus dicari untuk memastikan hak-hak rakyat Sabah sentiasa terpelihara.

"Oleh itu rakyat harus menyokong tindakan SPRM secara responsif dalam menangani isu berkenaan, termasuklah kerjasama padu daripada pihak-pihak berkuasa lain yang turut diperlukan," katanya.

Lagatah berkata, PUBT sebagai satu-satunya persatuan belia di Tawau yang sudah menyatakan ikrar membanteras rasuah pada majlis bersama SPRM sebelum ini, amat menyokong penuh serta memuji tindakan tidak pilih kasih SPRM dalam menangani isu pemalsuan SAN apabila dikatakan turut menahan individu berstatus tinggi.

"Tindakan ini menunjukkan bahawa integriti SPRM masih lagi di tahap tertinggi dan sewajarnya kita memberi ruang kepada agensi ini untuk menjalankan siasatan dan mengheret kesemua yang terlibat salah laku ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat," katanya.

Beliau juga menyarankan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat salah laku rasuah berhubung SAN supaya menyampaikan maklumat kepada SPRM untuk tindakan kerana identiti mereka selamat dan dirahsiakan.
Sijil Anak Negeri, SPRM

Artikel Lain