suria

Insiden Low Yat Tidak Patut Berlaku Di Bulan Ramadan - Tun M

Dr Mahathir Mohamad.

ALOR SETAR: Insiden rusuhan di Plaza Low Yat yang berlaku baru-baru ini, tidak sepatutnya berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata umat Islam bukan sahaja perlu menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi juga seharusnya membendung perasaan marah dan benci dalam bulan Ramadan ini.

"Ini tidak harus berlaku walau berbeza agama, walau ada perasaan marah, cara penyelesaian bukanlah dengan cara merusuh, negara akan menjadi sebuah negara yang tidak aman dan tidak menarik untuk sesiapa pun," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Iftar Ramadan dan Sentuhan Kasih Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah (Bidara) 2015 di Seri Mentaloon, Khamis.

Turut hadir di majlis itu Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria.

Insiden kekecohan dan rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat di ibu negara dua hari lepas berpunca daripada insiden kecurian telefon bimbit sehingga menyebabkan kejadian rusuhan.

Dr Mahathir berkata dalam menghadapi sesuatu masalah, rundingan secara aman dan damai adalah langkah terbaik bagi mengelakkan huru-hara.

"Umat Islam harus tunjuk pada semua pihak bahawa Islam adalah agama aman. Kita tidak harus putuskan hubungan kita hanya kerana kita puasa, mereka tidak ganggu kita, mereka bersama kita, mereka tidak halang kita tunaikan yang wajib," katanya.

Beliau berkata Malaysia seharusnya mengambil pengajaran daripada negara-negara Timur Tengah seperti Yemen, Syria dan Libya yang berada dalam keadaan kucar-kacir disebabkan tidak menyelesaikan masalah secara rundingan.

"Di Timur Tengah, mereka tolak keputusan mahkamah dan cuba selesaikan masalah dengan perang dan sengketa dan seluruh negara mereka hancur. Kita tidak mahu ia berlaku di negara kita," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain