suria

Rakyat Malaysia Murah Hati, Mudah Hulur Bantuan - NGO

KUALA LUMPUR: Sikap bermurah hati membantu sesama insan, lebih-lebih lagi ketika berlaku kecemasan, sememangnya terdapat dalam diri setiap rakyat Malaysia, kata pengerusi Small Changes, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Azri Malek berkata sikap mulia ini dapat dilihat dengan jelas ketika banjir besar melanda beberapa kawasan di negara ini Disember tahun lepas.

"Antara contoh paling ketara ialah ketika banjir besar melanda Kelantan tahun lepas, banyak rakyat Malaysia tampil memberi bantuan, sama ada menghulurkan sumbangan wang ringgit atau menjadi sukarelawan dalam operasi bantuan.

"Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja tidak pernah menutup mata terhadap tragedi atau kesulitan yang dialami orang lain, malah sentiasa bersedia membantu mereka yang ditimpa kesusahan dan sikap ini perlu disanjung tinggi," katanya.

Azri berkongsi pengalamannya mengenai sikap murah hati rakyat Malaysia ketika NGO itu mengadakan kempen kutipan derma tahunannya, yang mendapat sambutan hebat.

Beliau berkata peranan media sosial juga tidak kurang pentingnya dalam menggalakkan orang ramai menderma dan berkhidmat sebagai sukarelawan melalui maklumat yang disebarkannya tentang golongan yang memerlukan bantuan.

Small Changes, yang mempunyai anggota daripada pelbagai kaum berusia antara 18 dan 40 tahun, melibatkan diri secara aktif dan memberi sokongan terhadap kerja amal kerana percaya bahawa setiap individu mampu melakukan perubahan.

Tahun lepas, NGO ini mengumpul sumbangan RM45,000 bagi membeli 35 tan barangan, termasuk makanan dan barang keperluan diri untuk diagih kepada mangsa banjir di Kelantan.

NGO, Bantuan

Artikel Sebelum

Artikel Lain