suria

Kerajaan Rancang Anugerah Pemandu Bas Ekspres Cemerlang

BUTTERWORTH: Kerajaan sedang dalam kajian untuk mewujudkan anugerah Pemandu Bas Ekspres Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap kualiti perkhidmatan mereka.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata anugerah itu akan diberi kepada pemandu bas ekspres yang mempunyai sumbangan cemerlang terhadap usaha meningkatkan mutu perkhidmatan agensi mereka.

"Anugerah itu dilihat sebagai satu cara terbaik untuk memenuhi hasrat kerajaan yang sentiasa mengalakkan pemandu bas ekspres menyediakan perkhidmatan kelas pertama kepada para penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan Ops Terminal Bas, dekat sini malam tadi turut berkata bilangan pemandu bas yang berkemahiran di negara ini masih belum mencukupi.

"Apabila wujudnya anugerah itu, secara tidak langsung kami mampu meningkatkan kuantiti pemandu mahir selain mengubah persepsi masyarakat yang menganggap kerjaya itu tidak mempunyai masa hadapan," katanya.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Terdahulu, Muhamad Yusoff meyampaikan 300 unit cenderahati kepada pemandu bas serta penumpang selain memeriksa keadaan bas supaya berada dalam keadaan selamat sebelum bergerak ke destinasi yang dituju.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai isu diutarakan oleh pemandu bas ekspres dan teksi sepanjang tinjauannya ketika operasi itu.

"Antaranya berkaitan permohonan insentif daripada pihak kerajaan dan masalah tapak untuk perkhidmatan teksi. Kami akan berbincang dengan pihak persatuan bas, teksi dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat untuk segera mencari jalan penyelesaiannya," katanya.

Selain itu, Muhamad Yusoff juga menasihati pemandu bas ekspres supaya menjaga keselamatan penumpang dengan tidak terburu-buru untuk tiba ke destinasi dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R and R) sekiranya letih atau mengantuk.

JKJR, Pemandu

Artikel Lain