suria

Terlalu Awal Bincang Kerjasama Dengan Harapan Baru - DAP Selangor

SHAH ALAM: Masih terlalu awal untuk menjalinkan kerjasama antara kerajaan negeri Selangor dan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dilancarkan pemimpin progresif PAS.

Menurut Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim, GHB masih belum didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

"Ia masih terlalu awal untuk dibincangkan. Mereka belum menubuhkan sebuah parti politik lagi, bagaimana untuk bekerjasama?

"Mereka tidak boleh menjadi sebahagian daripada gabungan itu lagi. Oleh itu, kita tidak boleh terlalu teruja dengannya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan majlis berbuka puasa di sini pada Isnin malam.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai GHB dan apa peranan yang boleh dimainkan, Teng berkata ia adalah satu perkembangan positif.

Beliau menambah bahawa ahli-ahli GHB mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.

Gerakan ini dianggotai pemimpin progresif PAS seperti Mohamad Sabu, Khalid Samad, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Hatta Ramli dan Hanipah Maidin.

Mereka tewas dalam pemilihan PAS pada awal Jun lalu.

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib juga merupakan sebahagian daripada pergerakan itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain