suria

Ibarat Ludah Ke Langit, Amaran Mat Sabu Makan Diri

AKHIRNYA segala penafian dan dolak-dalik sebelum ini menjadi kenyataan apabila kumpulan progresif dalam PAS menzahirkan impian untuk bergerak dalam sebuah entiti berasingan.

Dalam suasana penuh ceria dan bersemangat, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu - yang dikatakan sedia untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam pembentukan Pakatan Rakyat 2.0.

Jawatankuasa penaja parti baharu itu dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru).

Harapan Baru dipelopori oleh barisan bekas kepimpinan PAS yang tewas pada pemilihn parti itu pada awal Jun lalu.

Menariknya, penubuhan satu lagi parti politik pembangkang ini dilihat sebagai cerminan kepada PAS apabila menjadikan Islam sebagai teras utama.

Kata Mohamad yang lebih lebih dikenali sebagai Mat Sabu, prinsip Islam yang didokong Harapan Baru tidak didorong oleh emosi, sentimen atau slogan semata-mata.

Sebaliknya jelas beliau, ia adalah satu tawaran untuk memberi 'rahmat dan keadilan' kepada rakyat.

Namun kurang 24 jam selepas Mohamad mengisytiharkan laluan dan hala tuju masa depan politiknya, beliau menerima pandangan yang pelbagai.

Paparan skrin laporan mStar Online pada 16 September 2014 (kiri) dan 13 Julai 2015 (kanan) mengenai pendirian Mat Sabu berhubung kedudukan dan jawatan dalam PAS.

Ada yang memuji dan tak kurang yang mengeji.

Paling mencuri tumpulan ialah apabila netizen mula menjadikan amaran keras Mohamad ketika berucap di pentas Muktamar Pemuda PAS Pusat kurang setahun yang lalu sebagai bahan untuk menyerang bekas pemimpin senior PAS itu.

Rata-rata menyifatkan tindakan Mohamad umpama meludah ke langit.

mStar Online sebelum ini juga pernah melaporkan mengenai amaran keras Mohamad kepada ahli PAS supaya tidak menubuhkan parti baharu walaupun tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti.

"Jangan tubuh parti lain atas nama Islam. Beza pandangan macam mana pun jangan tubuh parti politik lain atas nama Islam.

"NGO tak apa...tubuhlah mana-mana NGO untuk bersama Pakatan Rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat ke-55 di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi, Johor pada 16 September tahun lalu.

Jelas sekali apa yang berlaku hari ini bertentangan dengan seruan dan amarannya sendiri.

Lebih memalukan apabila tindakan Mohamad itu dilihat didorong oleh kuasa dan pangkat khususnya apabila gagal mempertahankan kedudukannya selepas kalah teruk di tangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun Mohamad yang menyertai PAS sejak 1982 segera menafikan telahan sinis bahawa beliau kecewa kerana hilang jawatan dan pangkat selepas pemilihan yang lalu.

"Kalah bukan perkara baharu, saya pernah kalah beberapa kali sebelum ini. Saya tak kecewa kerana kalah.

"Tapi kami kecewa dan marah kepada Umno dan Barisan Nasional kerana tidak dapat menyelesaikan penyelewengan dan salah urus tadbir di negara ini dengan baik," katanya yang menjadikan parti pemerintah itu sebagai alasan.

Pemeriksaan di beberapa laman blog dan media sosial seperti Facebook mendapati skrip amaran Mohamad supaya tidak menubuhkan parti baharu kembali menjadi siulan.

Walau apa jua kritikan, Mohamad sendiri sebagai orang lama dalam arena politik pembangkang sudah pasti mempunyai percaturannya sendiri.

Hanya menunggu masa, lambat laun Mohamad dan pendokong Harapan Baru akhirnya akan disingkirkan daripada PAS kerana melanggar Perlembagaan parti.

Mat Sabu, Harapan Baru, PAS

Artikel Lain