suria

Jeritan Ibu Selamatkan Dua Anak Daripada Terbakar

TASEK GELUGOR: Jeritan seorang ibu mengenai kebakaran yang berlaku di sebuah rumah panjang menyelamatkan nyawa dua anaknya yang sedang menonton televisyen dalam kejadian di Taman Seri Desa, di sini petang Sabtu.

Faizah Md Saad, 34, berkata dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, beliau sedang memasak untuk juadah berbuka puasa apabila tiba-tiba api di dapurnya menyambar dinding rumah dan beberapa barangan lain di bahagian dapur.

"Saya terkejut dan terus menjerit menyuruh dua anak saya yang sedang berehat dan menonton televisyen keluar menyelamatkan diri kerana bimbang api marak dengan cepat ketika itu.

"Kebakaran itu merebak dengan cepat dan dalam masa tidak sampai dua minit asap sudah memenuhi ruang rumah kami, nasib baik saya dan anak-anak sempat keluar dari rumah serta menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau ditemui selepas menerima lawatan anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shahbudin Yahya yang menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa kebakaran itu di sini, Isnin.

Turut hadir wakil dari Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Faizah berkata semasa kejadian, suaminya Bahari Musa, 48, berada di tempat kerja di Kampung Selamat, yang terletak tidak jauh dari rumah mereka dan beliau terus menghubunginya.

Katanya sebahagian rumahnya termasuk sebuah bilik dan baju raya anak perempuan mereka Nor Ismah Izati, 12, hangus terbakar dalam kejadian itu.

"Selain peralatan di dapur, barangan yang terdapat dalam bilik kedua juga hangus terbakar tetapi nasib baik tindakan pantas pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dengan cepat daripada merebak ke bahagian hadapan rumah kami," katanya.

Bahari berkata beliau dan keluarganya menetap di rumah itu sejak enam tahun lepas dan terpaksa menumpang di rumah ibunya di Permatang Berangan, dekat sini sementara rumah mereka dibaiki.

"Terima kasih kepada Datuk Shahbudin kerana datang melawat kami hari ini dan menyalurkan bantuan segera serta berjanji membantu untuk membaiki rumah saya," katanya.

Sementara itu, Shahbudin berkata beliau telah mengarahkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga Bahari terutama bagi kerja membaiki rumahnya yang rosak akibat kebakaran berkenaan.

Kebakaran, Anak, Ibu

Artikel Lain