suria

Budu Jelajah Kutub Selatan November Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama dengan peserta Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan 2015-2016, Shahrom Abdullah, 36, pada pelancaran ekspedisi itu di Bangunan Perdana Putra, Selasa. Turut hadir Penasihat Kehormat KE7B Datuk Akmar Hisham Mokhles (berdiri,dua dari kiri) dan Pesiden KE7B Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (berdiri,kanan) serta Ikon-Ikon KE7B.

PUTRAJAYA: Makanan popular rakyat Kelantan iaitu budu bakal menjelajah Kutub Selatan tidak lama lagi.

Ia akan menjadi kenyataan apabila makanan berasaskan ikan bilis itu akan dibawa atlet sukan lasak Shahrom Abdullah semasa ekspedisi menjelajah kutub selatan anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) bermula 17 November depan.

Shahrom, 36, yang ditemui selepas majlis pelancaran ekspedisi itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Selasa berkata: "Nanti saya akan tidur bersama budu. Selain itu saya juga akan membawa serunding dan tempe goreng bersama ikan bilis."

Ketika ditanya kemungkinan budu yang dibawa akan beku memandangkan cuaca di kutub selatan sangat sejuk, Shahrom yang juga merupakan atlet dualton dan traitlon negara berkata makanan dan barangan cecair berkenaan akan disimpan di dalam baju panas sebelum dijamah.

Shahrom berkata jumlah makanan, ubat-ubatan dan peralatan termasuk khemah yang akan dibawa dianggar seberat 50 hingga 60 kilogram dan kesemuanya akan ditarik menggunakan dua kereta luncur salji.

Beliau berkata, latihan bagi menjayakan ekspedisi itu telah dimulakan sejak Feb lalu termasuk menjalani latihan di kawasan bersalji di Norway dan Amerika Utara.

Tambahnya semasa ekspedisi itu beliau akan bergerak dalam satu kumpulan yang terdiri daripada tiga lagi penjelajah dari tiga negara lain.

Antara cabaran besar yang akan dilalui Shahrom di kutub selatan adalah cuaca ekstrem dengan suhu sejuk melampau sehingga negatif 80 darjah Celsius, ribut dan rekahan salji.

"Selain itu, saya juga berdepan risiko frost bite (reput fros) kerana suhu sejuk," katanya sambil menambah bahawa telah bersedia dari segi mental untuk menempuh semua cabaran itu.

Ekspedisi Shahrom akan melibatkan jarak hampir 1,000 kilometer dan dijangka mengambil masa selama 50 hingga 60 hari. -- Bernama


budu, Kutub Selatan, KE7B, Perdana Menteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain