suria

Remaja Miliki 4,000 Pil Kuda Ditahan Di Kelantan

KOTA BARU: Seorang remaja lelaki berusia 20 tahun dipercayai pengedar dadah ditahan bersama 4,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM92,000 di rumahnya di Kampung Lembah Sireh di sini, Isnin.

Remaja berkenaan adalah di antara 135 individu berusia 19 dan 59 tahun yang ditahan di atas pelbagai kesalahan dadah dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan bersama Unit Elit Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) JSJN Bukit Aman di Machang dan di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata operasi yang bermula 10 malam sehingga 12 tengah hari itu khusus untuk membanteras kegiatan penagihan serta pengedaran dadah tiga kawasan iaitu Wakaf Che Yeh dan Kampung Sabak di sini serta Kampung Rengas, Labok di Machang.

"Menariknya hari ini kita berjaya tahan seorang remaja lelaki bersama 4,000 pil kuda dan dia ini kita percaya pengedar di sekitar Kota Baharu dan ini adalah satu kejayaan besar.

"Remaja ini berselindung di sebalik pekerjaannya sebagai pelukis batik untuk mengelak kegiatannya daripada dikesan oleh pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini, Selasa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja berkenaan bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini sejak dua tahun lepas.

"Dia ini masih muda dan saringan air kencing suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kita juga percaya sebiji dadah (pil kuda) dipercayai dijual dengan harga RM25," katanya sambil menambah kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mazlan berkata pelbagai jenis dadah termasuk syabu, heroin dan pil kuda dirampas dengan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM103,414.

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM2,000 di Wakaf Che Yeh di sini.

"Kumpulan ini menjual mercun secara "car boot sale" di mana mereka jual mercun ini di dalam bonet kereta. Mereka terlebih dahulu mencari pelanggan di sekitar kawasan itu," katanya.

Katanya kesemua 135 individu ini akan direman bermula esok untuk siasatan lanjut. -- Bernama



pil kuda, STING, Kampung Lembah Sireh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain