suria

Hartanah Mara: Polis Tolak Unsur Pecah Amanah

Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Polis menolak adanya unsur pecah amanah (CBT) dalam kes pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Melbourne, Australia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak terlibat dalam siasatan kes ini kerana ia dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kami tak nampak ada unsur CBT dalam perkara ini, jadi pihak SPRM akan jalankan siasatan sepenuhnya.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK),  tak terlibat buat masa ini, buat masa ini tak ada unsur-unsur  CBT dalam kes ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM bagi 2015 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada polis akan turut membantu siasatan kes berkenaan.

Kontroversi pembelian hartanah di Melbourbe timbul apabila akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen bagi menempatkan pelajar yang dibiayai Mara.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House', daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain