suria

Masjid Jamek Kampung Baru Jadi Mercu Tanda - Najib

Najib Tun Razak ketika mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai pada majlis penyerahan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru pada Sabtu. Turut hadir Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani (kiri). Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembangunan semula Masjid Jamek Kampung Baru yang dibiayai sepenuhnya oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi Yayasan 1MDB diharapkan bakal menjadi mercu tanda di Kampung Baru di ibu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan semula yang hampir siap itu kini lebih menarik dan luas yang memberi keselesaan kepada orang ramai. "Bersama-sama jemaah di sini (Masjid Jamek Kampung Baru) bahawa keadaannya kini jauh berbeza, lebih indah, lebih selesa, lebih luas ruangnya dengan kemudahan-kemudahan dewan.

 "Hasrat saya ialah Masjid Jamek Kampung Baru menjadi mercu tanda untuk Kampung Baru dalam konteks pembangunan semula Kampung Baru yang sedang kita rancangkan," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bubuk lambuk kepada orang ramai di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, Najib berkata, walaupun 1MDB menerima pelbagai kritikan namun ia sebenarnya banyak berjasa untuk pembangunan Islam di negara ini.

Perdana Menteri memberitahu, pembangunan semula Masjid Jamek Kampung Baru yang menelan belanja sebanyak RM20 juta adalah sebahagian daripada sumbangan syarikat itu melalui Yayasan 1MDB.

Mengenai Kampung Baru, kerajaan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru untuk memberi fokus kepada dua aspek penting iaitu perancangan fizikal dan pengurusan pembangunan di kawasan berkeluasan 301.38 hektar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan bernilai RM61 bilion.

Pelan induk bermula tahun ini itu mencadangkan sejumlah 90 juta kaki persegi luas lantai pembangunan, dianggarkan kira-kira tiga kali ganda pembangunan keseluruhan KLCC, dan dijangka dapat mewujudkan sejumlah 46,237 peluang pekerjaan menjelang 2035 khususnya kepada penduduk Kampung Baru.

Artikel Lain