suria

Nasib Palanivel Dalam Kabinet Ditentukan Selepas Pemilihan MIC

KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Seri G. Palanivel dalam Kabinet akan ditentukan kemudian dengan memberi keutamaan kepada MIC untuk  membuat pemilihan bagi menentukan presiden parti yang baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, nasib Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu akan diketahui kemudian kerana beliau enggan membuat keputusan terburu-buru dan tidak mahu dituduh mencampuri urusan MIC.

"(Kedudukan) akan ditentukan dalam sedikit masa lagi, saya tidak mahu buat keputusan terburu-buru. Biarlah mereka (MIC) buat pilihan siapa presiden mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rombakan Kabinet berikutan kehilangan keanggotaan Palanivel dalam MIC seperti yang disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Najib berkata, sebagai ketua kerajaan beliau perlu akur dengan keputusan RoS bahawa Palanivel bukan lagi ahli MIC.

"Keputusan RoS itu telah disahkan di mahkamah. Jadi, saya tidak ada pilihan melainkan saya terima apa juga tafsiran yang telah dibuat RoS," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan kedudukan Palanivel akan diputuskan sebaik pihaknya meneliti surat pengesahan daripada RoS.

"Berdasarkan surat RoS itu, saya akan buat penentuannya nanti. Tunggulah bila kita akan putuskannya," katanya.

Pada Khamis, RoS mengesahkan Palanivel yang merupakan presiden MIC bukan lagi ahli parti itu berdasarkan Perkara 91 Perlembagaan MIC.

Perkara 91 Perlembagaan MIC menyatakan hal berkaitan parti tidak boleh dirujuk ke mahkamah tanpa persetujuan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti.

Menurut surat yang bertarikh pada Khamis, Palanivel telah hilang keahlian secara persendirian (Ipso Facto) mengikut perkara berkenaan.


MIC, BN, RoS

Artikel Lain