suria

Anwar Yakin Pembangkang Lebih Kuat Selepas Disusun Semula

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin penyusunan semula barisan pembangkang bakal menjadikan pakatan itu lebih kuat selepas berhadapan perpecahan.

Menerusi mesej yang disampaikan dari Penjara Sungai Buloh, Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa pembangkang masih berfungsi dan teguh sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun Parlimen.

"Saya percaya pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini.

"Dari sebalik tirai besi ini, saya menggesa teman-teman seperjuangan di dalam parti-parti pembangkang dan juga rakyat Malaysia untuk terus bergerak dalam perjuangan ini hinggalah kemenangan dikecapi dan Malaysia diselamatkan.

"Yakinlah saya tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan," kata Anwar yang disampaikan melalui peguamnya pada Selasa.

Menurut bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, parti-parti pembangkang sedang menjalin semula kesepakatan antara mereka bagi menentang Barisan Nasional (BN).

"Saya sedar walaupun beberapa perkara telah berlaku akhir-akhir ini, niat dan semangat pembangkang dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia dari kepincangan tatakelola dan autoritarianisme BN terus utuh.

"Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal, supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih baik," katanya.

Anwar, 67, kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat

Artikel Lain