suria

Sabbaruddin Chik Dihalang Terbitkan Buku

Sabbaruddin bersama veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid pada pelancaran buku "Membongkar Skandar Deepak dan Bank Rakyat, Dari Isi Hati Tan Sri Sabbaruddin Chik".

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Sabbaruddin Chik dihalang daripada terus menerbitkan dan mengedarkan buku bertajuk "Membongkar Skandal Deepak dan Bank Rakyat, Dari Isi Hati Tan Sri Sabbaruddin Chik".

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera yang membenarkan permohonan ahli perniagaan J. Deepak untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Sabbaruddin dan penulis buku itu, Shahbudin Husin, daripada terus menerbitkan dan mengedarkan buku berkenaan.

Vazeer Alam membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Ashokvijay J. Sanghrajka, yang mewakili Deepak, dan peguam Adnan Seman mewakili Sabbaruddin dan Shahbudin.

Ashokvijay ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya dan mengeluarkan perintah supaya kedua-dua defendan, ejen-ejen atau pekerja mereka dilarang daripada terus menerbitkan dan mengedarkan buku tersebut sehingga kes saman itu selesai.

Peguam itu berkata mahkamah menetapkan tiga hari bermula 19 Okt untuk perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Deepak, selaku plaintif terhadap Sabbaruddin dan Shahbudin selaku defendan.

Sementara itu, Adnan berkata anak guamnya menerima keputusan mahkamah dan tidak akan mengemukakan rayuan, sebaliknya meneruskan kes dengan perbicaraan.

Pada 11 Mac lepas, Deepak memfailkan saman itu selepas mendakwa Sabbaruddin telah memberikan bahan-bahan yang dijadikan asas oleh Shahbudin untuk mengarang buku tersebut.

Deepak mendakwa buku terbitan Special One Publication yang mengandungi perkataan-perkataan yang memfitnah dirinya diedar secara meluas sehingga menyebabkan beliau terpaksa menanggung malu dan reputasinya terjejas.

Plaintif juga mendakwa perkataan-perkataan fitnah dalam buku itu membawa maksud dia seorang ahli perniagaan yang tidak boleh dipercayai dan menjalankan perniagaan secara tidak jujur.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1.1 bilion, ganti rugi teruk dan injunksi tetap bagi menghalang pihak defendan daripada terus menerbitkan pernyataan serupa, selain menuntut faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-- Bernama

Artikel Lain