suria

Selangor Akan Terus Stabil, Jaminan Azmin Kepada Sultan

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi jaminan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan terus stabil walaupun Pakatan Rakyat berhadapan masalah dalaman.

Menurut Azmin, penjelasan berhubung krisis politik Pakatan Rakyat di peringkat nasional yang berlaku ketika ini dinyatakan kepada Sultan Sharafuddin pada pertemuan yang berlangsung Isnin.

"Saya memberi jaminan kestabilan dan keutuhan kerajaan negeri Selangor untuk terus fokus kepada usaha memenuhi aspirasi rakyat melalui penjanaan pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial.

"Tuanku Sultan mengambil maklum tentang penjelasan yang saya berikan dan baginda mahu kerajaan negeri terus stabil untuk membangunkan Selangor dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Selain itu, Azmin berkata, dalam pertemuan itu beliau turut memaklumkan kepada Sultan Selangor perkembangan terkini dalam usaha memuktamadkan Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor.

Pada 18 Jun lalu, Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta supaya pihak istana tidak diheret dalam krisis Pakatan Rakyat dan menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk menjelaskan isu tersebut kepada Sultan Selangor.

Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli dilaporkan menyatakan Azmin akan menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan pentadbiran kerajaan negeri susulan krisis dalam pakatan pembangkang.

Menurut Rafizi, ia membolehkan penjelasan sebenar situasi politik diberi dengan teliti kepada Sultan Selangor selain untuk pengetahuan rakyat negeri ini susulan DAP sebelum ini mengumumkan bahawa ikatan politik pakatan pembangkang yang dimulakan pada 2008 sudah tidak lagi wujud.

Ia berikutan usul Muktamar Tahunan PAS ke-61 lalu yang memutuskan hubungan dengan DAP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain