suria

RM30.8 Juta Zakat Diagihkan Untuk 41,568 Keluarga Fakir Miskin Di Selangor

Seramai 590 orang keluarga asnaf fakir dan miskin menerima bantuan zakat pada majlis Penyerahan Agihan Bantuan Ramadan Dan Syawal 2015 Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Pusat Konvensyen Shah Alam, Rabu.

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM30.8 juta untuk diagihkan kepada 41,568 keluarga fakir dan miskin di negeri ini sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim berkata setiap keluarga fakir dan miskin yang berdaftar akan menerima bantuan berupa wang tunai antara RM600 dan RM1,000 mengikut jumlah tanggungan.

"Sebanyak 28 program agihan dilakukan di seluruh Selangor sejak Isnin lepas dan berakhir 2 Julai ini," katanya ketika berucap pada program Agihan Bantuan Zakat kepada penduduk daerah Petaling di Pusat Konvensyen Shah Alam, Rabu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

Haris berkata kadar zakat fitrah di Selangor kekal seperti tahun lepas iaitu RM7 seorang.

Beliau berkata, LZS telah melantik 2,422 ketua dan penolong amil fitrah bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah di kawasan masing-masing.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 26 buah cawangan LZS seluruh Selangor yang beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang bulan Ramadan ini," katanya.

Haris berkata, pada tahun ini LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan prabayar dan pasca bayar Digi.

Menerusi kemudahan itu, nilai zakat fitrah akan dicaj pada bil atau ditolak daripada nilai kredit pengguna.

"Dengan pelbagai kemudahan pembayaran, LZS menyasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM21.5 juta," katanya.-- Bernama

Ramadan, zakat, Jais, Haris Kasim

Artikel Sebelum

Artikel Lain