suria

Azmin Jumpa Sultan Selangor Berhubung Perpecahan Pakatan

Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan bertemu dengan Sultan Selangor untuk menjelaskan kepada baginda mengenai situasi politik di negeri itu susulan pembubaran Pakatan Rakyat.

"Saya diberitahu bahawa saudara Azmin akan memberi penjelasan kepada Sultan dalam masa terdekat," kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli di luar Parlimen di sini, Khamis.

Sambil mengakui bahawa kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang tidak boleh ditubuhkan oleh satu pihak sahaja, Rafizi menjelaskan bahawa PKR telah mempertimbangkan isu tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan pada Rabu mengenai kedudukan semasa PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Di Pulau Pinang, DAP mempunyai 19 kerusi - kurang satu kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan. Oleh itu, kami perlu memastikan terdapat sokongan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang. Kami dimaklumkan bahawa Ketua Menteri itu akan terus menerima sokongan kerana PKR masih memenangi 10 kerusi.  Jadi dengan sokongan PKR, wujud kerajaan campuran dan ia tidak menjadi masalah.

"Begitu juga di Selangor, kami mempunyai 15 kerusi untuk PAS, 15 DAP dan 13 PKR. Sebab itu kita perlu memastikan walaupun Pakatan Rakyat dibubarkan di peringkat nasional, ia tidak memberi kesan terhadap sokongan Ahli Parlimen DAP dan PAS kepada Azmin sebagai Menteri Besar. Jadi, dengan sokongan PKR, wujud satu kerajaan campuran dan isu itu tidak berbangkit," katanya.

Rafizi berkata, PKR telah menghubungi wakil DAP Selangor dan PAS, malah mereka sudah mengesahkan sokongan terhadap Azmin.

"PKR mengambil pendirian untuk menerima kenyataan ini dan ia adalah lebih baik untuk bergerak ke hadapan serta cuba membentuk pakatan baharu kerana kita telah mendapat pengesahan sokongan terhadap kepimpinan Azmin di Selangor, tidak sama sekali terjejas dengan keputusan untuk membubarkan Pakatan Rakyat," katanya.


Azmin Ali, PAS, PKR, DAP, Pakatan Rakyat

Artikel Lain