suria

Charles Santiago Diarah Keluar Dewan, Pertikai Keputusan Speaker

Charles Santiago.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago diarahkan supaya meninggalkan Dewan Rakyat kerana mempertikaikan keputusan Speaker, menolak satu usul yang disifatkan sebagai 'tidak masuk akal'.

Charles Santiago (DAP-Klang) mempersoalkan mengapa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak untuk membahaskan usul wabak denggi yang meragut 144 nyawa setakat ini.

"Saya tidak faham mengapa usul saya ditolak.

"Keputusan anda tidak masuk akak," katanya.

Pandikar yang berang dengan tindakan tersebut mengarahkan Charles untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf.

Namun, Charles enggan duduk dan cuba untuk menyampaikan hujahnya menyebabkan Pandikar memberi amaran kepadanya berulang kali sebelum mengarahkan bentara untuk menyingkirkannya dari Dewan Rakyat.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut bangun untuk mempertahankan Charles tetapi segera duduk apabila Pandikar memberi amaran bahawa mereka juga akan diperintah keluar dewan sekiranya mempertikaikan keputusan tersebut.

Kemudian, Pandikar menjelaskan kepada Ahli Parlimen mengapa beliau menolak usul yang dikemukakan Charles.

Pandikar berkata usul tersebut ditolak dan tidak boleh dibawa semula ke dalam  Dewan untuk semakan, seperti yang cuba dilakukan Charles.

"Denggi merupakan satu isu berterusan yang mana kementerian sedang mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikannya.

"Membahaskan usul tersebut tidak akan menyelesaikan masalah.

"Selagi terdapat longkang kotor dan aliran tersumbat, akan ada denggi.

"Jadi alasan saya menolak usul tersebut adalah bukan karut," katanya.



Charles Santiago, Dewan Rakyat

Artikel Lain