suria

Krisis Pakatan Rakyat Ibarat 'Politik Ulang Tayang' - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Apa yang berlaku terhadap Pakatan Rakyat ibarat 'politik ulang tayang' yang mempamerkan trend normal kegagalan beberapa lagi pakatan parti pembangkang yang pernah terbentuk dalam negara sebelum ini.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib menarik perhatian pakatan pembangkang jika dilihat, secara konsistennya, tidak pernah berjaya kekal begitu lama.

Ini termasuk gabungan Semangat 46 dan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dan DAP menerusi Gagasan Rakyat.

Namun, bercakap kepada Bernama, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu berkata bukan cerita mengenai kegagalan mereka yang penting tetapi impak kegagalan mereka kepada rakyat.

Menurutnya, timbul banyak persoalan terutama ke atas negeri dipimpin secara bersama oleh mereka, khususnya negeri Selangor yang merupakan antara negeri maju dalam negara.

"Pembubaran pakatan ini, impaknya bukan sahaja pada kerjasama sesama parti, tapi melibatkan persoalan pembubaran ikatan kongsi kuasa di Selangor.

"Tempias utama adalah mengenai kedudukan kerajaan negeri Selangor serta ia akan beri gambaran keadaan ketidaktentuan," dakwanya.

Pakatan Rakyat merupakan pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Bagaimanapun, pakatan itu diisytihar tidak lagi wujud oleh DAP selepas jawatankuasa eksekutif pusatnya mencapai kata putus pada mesyuaratnya Isnin.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya pada Selasa berkata, keputusan yang dibuat Muktamar PAS sebelum ini untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata fokus sekarang adalah terhadap pentadbiran negeri Selangor yang mana PAS dan DAP masing-masing memegang 15 kerusi, manakala PKR 13, BN 12 dan Bebas 1.

"Kalau kesemua (PKR, PAS, DAP) bersetuju untuk bekerjasama maka PKR boleh terus memimpin, kalau tidak mungkin pilihan raya negeri perlu diadakan, yang mana saya rasa seeloknya-eloknya dielakkan," katanya.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM) itu bagaimanapun kesal, kerana rakyat telah memberi satu bentuk kepercayaan kepada Pakatan Rakyat dan mengharapkan prestasi perkhidmatan terbaik.

"Saya lihat, keputusan banyak bergantung kepada PKR, sama ada mahu kekal atau mencari alternatif kerjasama baharu yang barang kali akan bawa titik tolak baharu," katanya.

Isu perbalahan dalaman gabungan pembangkang itu atan rakyat yang berlanjutan sejak sekian lama menjadi lebih serius selepas Dewan Ulama PAS pada 3 Jun lepas sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61.

DAP yang 'terguris hati' dengan usul Dewan Ulama, kebelakangan ini semakin agresif memberikan tekanan yang mahu anggota PAS meletak jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Guan Eng pada Khamis lepas dilapor sebagai berkata keengganan kepimpinan baharu PAS untuk mengarahkan wakil PAS di negeri itu meletak jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang adalah sangat memalukan.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula sebelum ini ketika didesak mengenai pendirian PKR mengenai usul PAS, meminta rakan sekutunya supaya tidak mengheret beliau dalam kemelut politik mereka yang disifatkannya seperti 'permainan kebudak-budakan'.

Pada Sabtu lepas, beliau bagaimanapun dilaporkan mengalu-alukan penubuhan parti politik baharu yang dicadangkan oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat.-- Bernama



Md Shukri Shuib, DAP, Pakatan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain