suria

Polis Tahan Individu Miliki Senjata Buatan Sendiri

KOTA BAHARU: Polis Kelantan berjaya menahan tiga individu serta merampas dua jenis senjata buatan sendiri dalam dua tangkapan berasingan di sini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dua lelaki berusia 24 dan 30 tahun ditahan pada pukul 4 pagi di Jalan Sultan Ibrahim di sini kerana memiliki senjata jenis 'pump' angin, Jumaat lepas.

Beliau berkata sebelum tangkapan itu, polis menerima maklumat berhubung kejadian tiga suspek menaiki motosikal telah mengacukan senjata buatan sendiri terhadap seorang mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva.

"Polis kemudian berjaya menahan dua lelaki terbabit dan hasil pemeriksaan menemui senjata berkenaan dalam beg yang dibawa oleh salah seorang suspek," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini.

Katanya kedua-dua suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut. 

Mazlan berkata polis juga sedang giat memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai 'Heri' berusia 20-an. 

Sementara itu, beliau berkata polis turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun pada pukul 4.45 pagi semalam (Sabtu) di Kampung Chepa, Kedai

Lalat di sini kerana memiliki sepucuk pistol buatan sendiri yang disembunyikan di badannya.

Beliau berkata suspek yang turut memiliki tiga biji pil kuda kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA
Polis

Artikel Lain