suria

Keputusan Muktamar PAS Harus Dihormati - Azmin

KUALA SELANGOR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali berkata keputusan dicapai dalam muktamar PAS perlu dihormati oleh semua pihak sebab muktamar merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti itu. 

"Keputusan muktamar adalah keputusan tertinggi, itu menjadi amalan semua parti-parti politik. Kalau PKR, apa jua  yang diputuskan dalam kongres, itulah keputusan muktamad, dan dalam DAP apa yang diputuskan dalam konvensyen, itulah keputusan muktamad," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek pembiayaan program Hijrah Selangor fasa ketiga di Universiti Selangor (Unisel) di sini pada Ahad.  

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dalam blognya yang dipetik sebagai berkata: "Saya bersetuju dengan beberapa MP PAS bahawa keputusan Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP adalah muktamad kerana Muktamar PAS adalah badan pembuat keputusan tertinggi dan tiada aduan keputusan itu melanggar mana-mana undang-undang Islam atau Hukum".

Kenyataan Lim susulan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata penubuhan parti baharu seperti dicadangkan oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) perlu menerima 'rangka dasar bersama' yang dipersetujui oleh semua rakan komponen Pakatan Rakyat (PR).

"Dalam sistem demokrasi, mana-mana individu boleh bentuk parti dan badan bukan kerajaan. Namun, jika Pasma  berhasrat untuk bersama Pakatan, maka perlu terima dasar bersama yang diterima PR," katanya.

Pasma pada Sabtu mencadangkan parti politik baharu itu  bagi menggantikan PAS dalam PR selepas PAS dalam Muktamar Tahunannya ke-61 baru-baru ini, menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP.

PAS, DAP, PKR, Mohamed Azmin

Artikel Berikut

Artikel Lain