suria

Bayaran Fi Tak Dapat Dikutip, Kementerian Kesihatan Rugi RM30.47 Juta

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan kerugian RM30.47 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2012 ekoran wujudnya tunggakan bayaran  perubatan yang tidak dapat dikutip, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2.

Hampir separuh iaitu RM15.03 juta daripada jumlah berkenaan merupakan bayaran perubatan warga asing yang tertunggak dan dihapus kira, dan selebihnya bayaran tertunggak warga tempatan, menurut laporan yang dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat di sini Isnin.

"Oleh itu, penemuan audit mendapati pengurusan kutipan hasil fi perubatan melalui sistem aplikasi di hospital adalah kurang memuaskan khususnya berkenaan dengan pengurusan tunggakan dan hapus kira hasil.

"Malah terdapat peningkatan sejumlah RM6.03 juta (98.2 peratus) amaun hapus kira pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya dan peningkatan RM4,122 pada tahun 2014 berbanding tahun sebelumnya," menurut laporan itu.

Menurut maklum balas Kementerian Kesihatan yang bertarikh 21 April 2015 bahawa tunggakan bayaran oleh rakyat tempatan antaranya adalah disebabkan pesakit tidak mampu membayar deposit dan menjelaskan bil, pesakit bertukar alamat dan mengakibatkan surat peringatan yang dihantar dikembalikan.

Manakala tunggakan hasil bagi pesakit warga asing pula disebabkan mereka menggunakan passport orang lain semasa membuat pendaftaran masuk wad dan juga  menggunakan alamat palsu.

Menurut laporan audit itu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa tindakan penambahbaikan antaranya, kemudahan e-Payment di hospital melalui penggunaan kad kredit atau debit, memaklumkan tunggakan bil melalui telefon dan melaporkan pendatang asing tanpa izin kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Menurut laporan itu, peratusan tunggakan semakin meningkat dari tahun ke tahun yang mana pada 2012 peratus tunggakan adalah pada kadar 25.5 peratus iaitu sebanyak RM6.14 juta, dan meningkat kepada 46.5 peratus iaitu sebanyak RM12.16 juta pada 2013 dan meningkat kepada 47.7 peratus iaitu RM12.17 juta pada tahun lepas.

Dalam itu, laporan itu turut mengesyorkan bahawa sebuah pasukan petugas perlu diwujudkan bagi mengenal pasti, meneliti dan menyelesaikan isu tunggakan hasil dan hapus kira supaya pengurusan hasil kerajaan dapat diurus dengan cekap dan teratur serta memperoleh hasil yang sepatutnya.

Laporan itu turut menyentuh projek pembinaan Institut Kanser Negara (IKN) yang siap lebih awal dari tempoh ditetapkan, dan sampel kerja pembinaan bangunan dan pembekalan peralatan serta pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan IKN adalah baik.

Namun terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan audit dimana kualiti kerja pembinaan yang kurang memuaskan di 18 lokasi termasuk tangki 'menara penyejuk' bocor, air bertakung di jalan, penggera sentiasa berbunyi dan wayar peralatan teknologi maklumat dan komunikasi berselirat.

"Selain itu, bilik isolasi tidak dapat digunakan kerana tidak menepati piawaian yang ditetapkan, menara penyejuk dan landskap tidak disenggara dengan sempurna kerana pemantauan kerja penyenggaraan kurang berkesan," menurut laporan itu.

Laporan itu turut mengesyorkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya supaya memastikan baki kerja yang tidak sempurna dan berkualiti diambil tindakan pembaikan dengan segera bagi menjamin keselamatan bangunan dan penggunaan serta memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik daripada wang yang dibelanjakan.

IKN yang dibina dengan kos projek keseluruhannya berjumlah RM704.60 juta adalah untuk menampung pesakit kanser yang semakin meningkat dengan menawarkan perkhidmatan kanser yang menyeluruh dan terbaik di negara ini.

Ia mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2014 dengan skop perkhidmatan terasnya iaitu radioterapi dan onkologi, perubatan nuklear, perubatan paliatif, dan juga pembedahan onkologi.

Artikel Lain