suria

"Saya Bukan Tuhan"- Nazri

Datuk Seri Nazri Aziz
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz enggan berundur dalam perang mulutnya dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dengan terus memberitahu bahawa TMJ tidak sepatutnya campur tangan dalam politik.

Sebagai tindak balas terbaharunya terhadap kenyataan TMJ bahawa dirinya 'bukan Tuhan', Nazri mengulangi pendiriannya bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan kerabat adalah di atas politik.

"Pertamanya, tidak ada orang Islam yang akan mendakwa diri mereka sebagai Tuhan. Saya seorang Muslim. Tuhan saya ialah Allah.

"Oleh kerana raja-raja dilindungi oleh undang-undang, adalah sukar bagi kita untuk bertindak balas tanpa masalah.

"Rakyat biasa boleh mengkritik ahli-ahli politik, kerana kita boleh mempertahankan diri kita.

"Tetapi kerabat adalah di atas politik. Mereka dilindungi di bawah undang-undang. Apabila mereka mengkritik, sukar bagi kita untuk bertindak balas kerana undang-undang yang melindungi mereka.

"Dan, sebagai putera mahkota yang suatu hari nanti akan menjadi Sultan, adalah lebih baik untuk beliau kekal di atas politik.

"Beliau tidak boleh dilihat sebagai mengambil peranan tertentu," kata Nazri.

Nazri mengulas komen terkini Tunku Ismail yang disiarkan melalui halaman Johor Southern Tigers Facebook pada Isnin, di mana TMJ berkata Nazri tidak sepatutnya berfikir rakyat negara ini wujud untuk memberikannya jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya beliau memberikan khidmat kepada rakyat.

"Anda seorang menteri, bukannya Tuhan yang tidak boleh ditegur," katanya.

Mengenai kritikan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak menghadiri dialog awam untuk membincangkan hal ehwal semasa, Nazri berkata: "Rakyat biasa boleh mengkritik tetapi tidak kerabat."

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nazri akan disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan berikut kenyataan beliau terhadap Tunku Ismail.
Datuk Seri Nazri Aziz, TMJ

Artikel Lain