suria

Orkim Harmony: Siasatan Awal Menjurus Kepada Rompakan Laut

KUALA LUMPUR: Kesemua petunjuk siasatan awal ke atas kehilangan kapal tangki berdaftar di Malaysia MT Orkim Harmony yang memasuki hari kelima, menjurus kepada kes rompakan di laut, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata ini kerana tiada panggilan kecemasan diterima daripada kapal itu selain tiada tanda ia menghadapi kemalangan ketika hilang pada 8.57 malam Khamis lepas.

Beliau mendedahkan bahawa kapal tangki itu kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd dan membawa 6,000 tan petrol RON95 bernilai RM21 juta milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Ahmad Puzi juga menolak kemungkinan kapal itu dirampas dan anak kapal dijadikan tebusan memandangkan sehingga 3.30 petang tadi tiada mana-mana pihak menghubungi untuk meminta wang tebusan.

MT Orkim Harmony sedang belayar dari Melaka ke Kuantan, Pahang semasa ia hilang.

Kapal tangki itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk  Kaptennya Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Ahmad Puzi berkata setiap cubaan untuk menghubungi kapal itu gagal setakat ini dan ia masih tidak berjaya dikesan biarpun dilengkapi dengan pelbagai alat perhubungan dan sistem pengesan kedudukan.

Beliau berkata APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga telah mengepung jalan keluar di perairan negara dan telah menghubungi kesemua pihak berkuasa maritim dalam negara anggota ASEAN, selain mendapatkan kerjasama dari

Amerika Syarikat dan Australia dalam usaha mencari kapal tangki yang hilang itu. 

TLDM pula memperluaskan kawasan pencarian bagi mengesan kapal tangki membawa petrol yang dilapor hilang di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor Khamis lepas, meliputi kira-kira 4,000 batu nautika persegi.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata 150 anggota TLDM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk tiga kapal iaitu KD Terengganu, KD Pendekar dan KD Ganyang.

Sementara itu, Habibah Baharom dari Kuala Kedah berdoa untuk keselamatan anaknya, Muhammad Aiman Shafiz yang menjalani latihan praktikal di atas kapal yang hilang itu.

Muhammad Aiman sedang menuntut di Politeknik Ungku Omar di Ipoh dalam peringkat Diploma Kejuruteraan Kapal dan dalam latihan praktikal selama enam bulan. 

-- BERNAMA
ORKIM HARMONY

Artikel Lain